Wednesday, June 10, 2009

Tua


Setiap manusia mahupun apa jua makhluk baik yang bernyawa atau tidak pasti melalui edaran masa usia dari detik ke detik, hari ke hari.. Peredaran masa membawa kesan langsung kepada usia yang rasionalnya dihitung dengan nombor. Peningkatan usia sejajar dengan enjakkan masa namun tidak sekata hitungannya.. Usia dihitung secara terus-menerus sedangkan detik masa atau hari berpusing-pusing kiraannya.

Terfikir aku akan mengapa perlunya usia, apa pentingnya usia? Waktu dan hari yang berulang-ulang kiraannya seolah-olah memberi maksud mereka tidak terikat apa-apa dengan peredaran usia.. sedangkan waktu dan hari lah yang menyumbang peningkatan usia.. Apakah kehidupan sebegini adil? Mengapa kita yakni insan dijadikan pada awalnya dari darah dan mani akan pasti (pada keizinan) sampai ke satu tahap yang dipanggil TUA?

TUA dieja dalam jawi adalah ta, wau, alif. Ta memberi erti tika. Wau adalah waktu.. dan Alif pula akhir.. Jadi tua itu boleh difaham maksud sebagai Tika Waktu Akhir. Mungkinkah dengan maksud ini maka TUA berfungsi sebagai peringatan kepada kita... bermakna juga kehidupan kita seharian ini adalah satu proses penuaan sebenarnya.

Sukar menetapkan tahap-tahap tua kerana ia terlalu subjektif dan berbeza pada setiap insan. Ada yang kelihatan tua dikala umurnya masih muda, ada pula baru dilihat tua tatkala umurnya sudah menjangkau tua bangka, ada yang suka menjadi tua dan ada yang tidak sedar-sedar walaupun sudah tua.. Jelasnya tua tidak terpandang pada umur dan fizikal sahaja tetapi juga pada umur dan kematangan seseorang itu. Tua memberi ruang kepada kita menjadi lebih matang.. dan tua akan dibekali dengan pengalaman dari kehidupan sebelumnya.. untuk mematangkan dan membekalkan tua dengan pengalaman ia perlu dipimpin dengan daya ingatan oleh akal yang waras! Dek kerana kematangan dan pengalaman itu maka yang tua perlu dihormati... kepada yang muda perlu diteladani..

Natijahnya, tua itu perlu ada bagi membeza waktu dan usia, bagi mengingatkan insan akan apa yang berlaku sebelumnya dan bersedia untuk akan datang, bagi menghitung perederan masa yang berulang-ulang itu sebenarnya adalah peningkatan yang menegak. Tua juga dijadikan kerana setiap kejadian itu ada awal dan akhirnya. Hakikatnya tua itu adalah Fitrah..!

Apa pun pandangan dan pengertian tentang tua, perlu difahami bahawa asasnya tua itu adalah proses kehidupan tanpa batas yang tidak boleh dielakkan.. tua bukan bermakna malas, lemah, tak larat, letih dan sebagainya.. namun ironinya tua sering dijadikan alasan! Tua yang penuh amalan akan kelihatan segar dan betenaga, tua yang kosong amalan dilihat murung dan rapuh..

No comments:

Post a Comment