Friday, May 29, 2009

oohh...Malaysiaku




Kes ragut lagi!!... terbaru dilaporkan berlaku di Kuala Trengganu, Trengganu. Mangsa ialah Mazlina Nawang, 45. Seorang ibu yang dalam perjalanan pulang kerumahnya di Batu Rakit. Tersentap aku membacanya hingga menyuntik fikiranku menulis... seolah-olah sudah menjadi wadah utama sebagai sajian berita untuk masyarakat Malaysia.. Ragut, rompak besentaja, samun bunuh merupakan menu yang tak terpisah dengan paparan harian media cetak kita...

Apa sudah jadi sebenarnya, kes-kes sebegitu seolah-olah kian menjadi budaya baru yang membentuk pekerjaan kepada orang Malaysia.. Semakin kuat pembenterasan dilakukan semakin menjadi-jadi pula. Apakah orang Malaysia kini sudah dirasuk oleh perubahan cara hidup yang tidak menentu haluannya hingga merosakkan budaya waras kita. Sedang kita lantang menggoncangkan fakta bahawa Malaysia adalah Negara yang aman, masyarakat berbilang bangsa hidup bekerjasama dan lain-lain, hakikat yang berlaku adalah sebaliknya. Satu demi satu masalah runcing timbul dimuka arus zaman moden ini.

Malaysia pada asasnya dibentuk sebagai Negara Pertanian. Kemudian di ubah sebagai Negara Industri.. Justeru itu segala cara pemikiran, pembelajaran, pekerjaan, status masyarakat, tanah diacukan berkonsep pembangunan industri. Bagi membentuk acuan ini struktur pentadbiran negara juga berubah lantas banyaklah kilang-kilang membangun, bandar-bandar baru berlandskapkan industri dibina, penswastaan, insfrastruktur berpintu-gerbangkan tol-tol tumbuh merata-rata.

Kerana tertalu asyik dan yakin dengan aliran pembangunan ini maka corak kehidupan pun berubah pantas dan nafsu politik pun menjadi sumbang dan songsang. Budaya bangsa nenek moyang kian terhakis! Pembangunan Negara yang diagong-agongkan rupanya menjadi petunjuk jalan kepada gejala sosial yang tidak terkawal lagi....

Seketika terdengar suara-suara kecil melaung-laungkan hukum serta haq yang batil dan hakiki, Al-Quran dan Sunnah, lantas mereka ini dilayan seperki katak... dihina, disepak, dipijak dan dihumban kedalam kolam yang sempit. Mengaumlah katak-katak ini dibawah rumah, surau di kampung, bawah pokok dan tepi jalan untuk meneruskan pejuangan.

Bagi puak moden ini.., pembangunan tidak boleh dibawa selari dengan soal hukum, haq, Al-Quran dan Sunnah. Lalu pada suatu hari.. Ketua kepada pembangunan ini bingkas mengeluarkan fatwa angkuh di media perdana dengan mengatakan : "jika kita melaksanakan hukum itu (Al-Quran dan Sunnah), nescaya negara tidak boleh maju, kerana... apanama.. bila orang mencuri dipotong tangan dan ramai yang kena potong tangan, macamana nak buat kerja, cari rezeki.. dan kalau dah tak boleh kerja macamana negara nak maju.." (lebih kurang begini ayatnya). Ungkapan yang dibuat lebih kurang 10 tahun lalu, masih berdesing ditelingaku.

Tidak lama selepas itu aku semakin terdorong dengan berita dan cerita luarjangka dimana masalah sosial terus menular.. jenayah meragut mula menjadi-jadi. Mat rempit, samun, rompak menjadi agenda utama dalam kehidupan sekarang. Pada 'dasarnya' bukan mereka yang terlibat itu sahaja patut dipersalahkan atau yang patut dijinakkan.. tapi situa itu juga..... Jadi tak hairanlah kenapa masalah ragut, rompak ini gagal ditangani, mungkin kerana semua orang masih ada tangan.. atau banyak sangat tangan.. kot la!

Thursday, May 28, 2009

Kue teow kerang Atan




Boleh la aku kategorikan sebagai 'the best kue teow kerang in town'. Walaupun tidak selalu aku makan di sini, tapi bila rasa saja nak makan kue teow... pastinya kedai Atan pilihan ku. Sentuhan gorengan Atan memang serasi dengan tekak dan perut ku.. Kadangkala meronta-ronta perutku mahu diisi dengan kue teow Atan ni.. semestinya pilihan ku ialah kue teow goreng basah.. ditambah cili potong... fuhhhhh!! sedapnya.... memang sedap! Selain kue teow kerang, ada juga menu lain.. ada kue teow udang, daging, kue teow special, mee kari, mee kicap dan nasik lemak. Yang lain aku tak ingat.



Kedainya terletak di kawasan Bercham.. Hah, tempat aku ni! Jika masuk ke Jalan Bercham melalui Tesco Extra, teruskan sahaja perjalanan anda sehingga melepasi pekan lama Bercham dan Balai Polis, anda akan kelihatan Stesyen Minyak Caltex (kedua) disebelah kanan, terdapat deretan kedai di situ.. pastinya anda akan nampak Kedai Atan.


Skill Atan menggoreng memang mengasyikkan, pelanggan yang datang rata-ratanya adalah pelanggan tetap dan mereka sentiasa berpuas hati makan disini. Amatlah rugi jika anda berada di sekitar Ipoh, khususnya di kawasan Bercham dan Tmn Perpaduan tidak datang mencuba rasa disini. Jadi.. apa ditunggu lagi datanglah singgah, cuba dan rasa!

Wednesday, May 27, 2009

English class

Subjek English merupakan matapelajaran yang membosankan aku ketika di sekolah rendah. Tak tahu kenapa.. susah sangat aku nak faham english.. mungkin sebab rutin pertuturan aku dikampung adalah Bahasa Melayu Rojak manakala bahasa rasmi aku dirumah ialah Jawa. Aku tak boleh bertutur jawa tapi boleh faham apa yang nenek dan atuk cakap. English?... huh! mau nenek panggil aku kafir kalau aku speaking london dengan dia.. hehehehe

Masa tu aku darjah 5, tak lama lagi nak ambil Periksa Penilaian. Tatkala itulah semua cikgu (dulu-dulu mana ada panggil guru) mula bertungkus-lumus mengajar kami supaya besedia dengan peperiksaan. Termasuklah teacher english kami, namanya Annan Kaur... berbangsa Punjabi. Hah! faham-faham la kalo dah bangsa ni.. semua budak-budak takut.. garang bukan main, pantang salah sikit hukumnya berdiri la sampai habis masa, tak pun kena cubit semut api.

Bagi mengelakkan dihukum aku sentiasa bersedia, sebab dia suka menyoal.. sesiapa yang tak jawab kena berdiri atas kerusi dan kalau tak boleh jawab kena cubit. Kalau dia tengking je pun dah kira mulia sangat la sikap dia tu. Sebagai murid yang bijak aku aturkan strategi untuk menjawab di awal kelas bermula.. biar dia perasan yang aku dah cepat jawab. Bagus strategi aku tu...

"What is verb?" suatu hari dia menyoal sejurus masuk kedalam kelas. Kelam kabut kami dibuatnya, dan aku yang sentiasa bersedia, cuba menjawab... "kata kerja" jawab Rozita memintas usahaku itu. "What is adverb?" Dia terus menyoal.. Johari pula tangkas bangun menjawab. "Ciss! cepat betul la depa ni..." hatiku bebisik resah. "example?" soal Cikgu Annan lagi.. tanpa mengangkat tangan aku terus bangun dan menjawab.. "contoh, teacher" terpacul suara kemanjaanku...menjawab dengan yakin.! Ketika itu juga aku lihat hampir separuh biji matanya terkeluar menjegil ke arahku.. ahhh, kenapa ni.. apa salahku? jiwaku menjadi gusar.. Barulah aku perasan, dia nak 'example untuk adverb'.. bukan nak tahu maksud 'example'.... heheheh! dan seperti lazimnya aku pun merelakan diri untuk berdiri atas kerusi sehingga habis masa sambil disengehkan kawan-kawan...!!

Tuesday, May 26, 2009

Dermalah Darah

Anggaplah diri atau tubuh kita sebagai sebuah kereta baru. (tak kesahlah nak jadi kereta apa, BMW ke, Merce ke, Myvi ke, Saga ke). Lengkap dengan penciptaan yang termoden dan gaya terkini. Sesebuah kereta yang baru memerlukan minyak enjin untuk menjana enjin menjadi lancar dan terjaga. Isikan dengan minyak enjin yang terbaik iaitu fully sentitik. Lalu kita teruskan perjalanan kita tak kira kemana.. biarkan minyak enjin ini terus berfungsi seberapa lama yang boleh tanpa menukarkannya. Berapa lamakah kereta boleh bertahan?, 1 tahun, 2 tahun, 5 tahun....? nescaya lambat-laun ia akan mengakibatkan kereta menjadi rosak.. walaupun pada awalnya diisi dengan minyak yang terbaik..

Begitulah dengan diri kita.. Lahirnya kita di dunia, semulajadinya tubuh kita diisi dengan darah yang elok dan bersih. Darah ini lah yang menjana diri kita sehingga dewasa dan tua. Darah amatlah penting dalam tubuh. Tanpa darah kita tak mungkin boleh hidup! Namun darah juga perlu di perbaharui supaya tubuh menerima darah yang bersih.. tapi bagaimana?

Mendermalah darah! dermalah darah kita!. apabila menderma darah, secara tidak langsungnya tubuh kita akan mencipta darah baru melalui pemakanan harian kita, lantas membentuk tubuh menjadi lebih sihat dan kembali segar bugar. Pendermaan yang kerap iaitu pada setiap 3 bulan membolehkan pemprosesan darah baru lebih berkesan lalu membentuk immunisasi yang kuat untuk tubuh kita. Bayangkanlah jika kita tidak pernah menderma darah sehingga tua... ibarat kereta tadi, tubuh akan menjadi mudah terkena dengan pelbagai jangkitan kuman berpenyakit.

Hakikatnya kepentingan dan kebaikan menderma darah kepada si penderma tidak diwar-warkan dinegara kita ini, sebaliknya kempen-kempen menderma darah lebih tertumpu kepada orang yang memerlukan (si penerima). Mungkin ini myenyebabkan kesedaran masyarakat untuk menderma masih kurang.. diharapkan dengan fakta saya ini dapat menolehkan padangan Kementerian Kesihatan untuk berkempen dengan lebih positif....'Mendermalah darah, bukan sekadar membantu tetapi memberi lebih kebaikan untuk DIRI ANDA..!'

Terima kasih atas kerjasama dan sokongan dari petugas-petugas Jabatan Derma Darah Hospital Permaisuri Bainun, Ipoh.

Rojak & Laksa Penang


Hah.! mai sini aku nak habaq kat hangpa semua.. nak makan rojak pasemboq ka, laksa penang ka, cucuq udang kalu.. sini ada satu tempat baik punya... khas untuk orang selangoq lebih lagi yang duk kat area Sg Buluh. Tu dia ehhh.. takyah susah-susah nak pi Penang nun, sini pun ada.




Brader ni namanya Muhammad, nama kedainya Warong Selera Petang. Dia ni memang asai orang Penang, Bukit Mertajam. Rasa rojak dan laksa dia tak lari, penang ori punya.. nalerkek! kalo dok makan kat situ rasa cam makan kat Bagan atau Padang Kota.




Nak cari gerai ni cukup senang.. kalo mai dari hiway PLUS, hangpa kluaq kat Hospital Sg Buluh sampai trafik light belok belah kanan, jalan terus jumpa trafik light lagi satu konar kanan lagi jalan terus sampai simpang tiga.. tepi tu la gerainya, dok belah kiri kat simpang tu.. Apa lagi mai la singgah, cuba dan rasa!



Friday, May 22, 2009

Ampun Tuanku...



Ampun Tuanku, sembah patik harap di ampun, Daulat Tuanku patik menjunjung. Mohon patik berbicara, bukan tujuan hendak menderhaka, bukan juga berniat angkara, kepada tuanku dijunjung mulia, disanjung rakyat dari serata.


Adapun patik gerangan hamba, sebagai rakyat jelata dari luar sana, dibawah naungan tuanku patik berkelana, sudah menetap sekian lama, turun temurun hingga ke hamba, di daerah yang aman Bandar Di Raja.


Ampun Tuanku, patik gusar dalam keraguan, hal negeri yang tidak keruan, masing-masing ada prinsip dan perjuangan, hingga rakyat berpecah-belahan, tanpa arah tanpa tujuan, kepada siapa patut diajukan, bila masalah tidak boleh diselesaikan, sampai bilakah hendak dibiarkan.? Mengapa terjadi dinegeri yang aman, rakyat perpuak bercakaran, satu puak gelap-gelapan, satu lagi putih berdarah campuran., seakan lumpuh hal perniagaan, hilang arah hal ehwal pentadbiran, semakin hari semakin berlarutan,


Ampun Tuanku, titah Tuanku disanjung tinggi, bicara Tuanku amat pekerti, harap kekalutan dapat diadili. Rakyat jelata ternanti-nanti, keamanan negeri moga dikembali, agar kehidupan terus diberkati. Kepada Tuanku patik harapkan, agar rakyat diberi kepercayaan, biarlah kami (rakyat) membuat pilihan, siapa yang berhak menjadi tuan, meneraju Negeri membawa kemakmuran.


Jika bicara mengundang murka, ampunkan patik hamba yang hina, bicara patik sekadar cuma. Tuanku yang lebih arif lagi bijaksana.. ketetapan Tuanku tetap diterima.. Ampun Tuanku.

Wednesday, May 20, 2009

Tanjung Rambutan

Untuk produksi sulung ini 'krew Dagang PakMalau' menyusur jejak ke bumi bertuah yang ironinya amat diketahui umum, .. Pekan Tanjung Rambutan. Nama yang tidak tersanggah dari peta pengetahuan am rakyat Malaysia. Malah ia lebih dikenali berbanding pekan atau bandar-bandar lain di dalam Malaysia ini. Tanjung Rambutan terletak lebih kurang 15 km dari Bandaraya Ipoh, dihubungi melalui jalan darat mengahala ke arah Jalan Tambun dan melepasi Sunway Lost World.




Tatkala tiba ke pekan ini, kami melintasi Sungai Kinta yang seolah-olah mengalu-alukan kehadiran kami, cukup memberi pengertian akan asal usul namanya. Aliran dan deruan air sungai yang datang dari Ulu Kinta menghala ke Bandar Ipoh merentasi kawasan ini seraya membentuk 'tanjung'.... firasatku dengan yakin.

Namun, Tanjung Rambutan lebih diketahui umum lantaran terdapatnya Hospital Bahagia sejak dari dulu lagi. Disinilah tempat untuk orang yang kurang waras dijaga, lantas ia memberi 'trade-mark' kepada pekan bertuah ini. Malah Tanjung Rambutan juga disebut di dalam sebuah filem arahan P.Ramlee.. Masyarakat lebih suka mengaitkan Tanjung Rambutan sebagai tempat 'orang gila'. Kami menjejaki kebenarannya.



Ternyata takrifan atau tanggapan masyarakat luar terhadap pekan ini adalah salah, explorasi kami menghujahkan segalanya. Di tepian sungai Kinta ini terdapatnya pasar basah yang menjadi nadi utama kehidupan penduduk disini. Perniagaan yang rancak dijalankan tidak menunjukkan mereka ini gila.. semuanya waras dan sempurna. Masyarakatnya berbilang bangsa.. melayu, cina, india dan juga orang asli. Semuanya berniaga dikawasan Pasar itu. Suasananya seperti biasa, riuh rendah berserta deruman pelbagai kenderaan yang melalui kawasan tersebut.



Kami menyusur lagi sedikit ke hadapan mamasuki kawasan pekan, jelas kelihatan bangunan pra-kemerdekaan masih kukuh dan tersergam indah, malah kesemuanya berfungsi teguh sebagai kedai-kedai perniagaan. Tidak seperti sesetengah bangungan pra-kemerdekaan yang terdapat di bandar Ipoh., nampak lesu dan buntu. Kebetulan pula, ketika kunjungan kami adalah hari ahad, jadi ada pasar pagi rupanya disitu. Walaupun tak terlalu ramai, tapi memadai untuk pekan kecil ini.



Sejurus puas menerokai pekan ini kami menuju arah dimana letaknya Hospital Bahagia yang dibualkan orang.. melalui kawasan stesyen keretapi, kami merasa kagum kerasa ia masih bekeadaan asal. Seolah-olah tiada pengubahsuaian pernah dilakukan.. Akhirnya kami sampai di Pintu Gerbang Hospital Bahagia Tanjung Rambutan.. yang menjadi trade-mark pekan ini.. dari luar ia seperti hospital biasa, tiada bezanya. Tapi mungkin bagi mereka yang pernah berada didalamnya, lebih arif mentafsirkan.



Kami disapa oleh seorang pakcik, dia memberi tahu disni juga terdapat tempat pemeliharaan kuda iaitu di Stud Farm. "boleh tengok kuda dari luar..naik tak boleh la.." katanya. Terus kami bergegas ke situ.. memang ada kuda dan memang nampak kuda.!! Rupa-rupanya Tanjung Rambutan bukanlah sekadar ada Hospital Bahagia.. ada kolam memancing air masin, Stud Farm dan Pusat ternakan, dan perkampungan orang asli. Kemudahan asas seperti sekolah dan padang pelbagai guna juga adalah baik dan sempurna.




Pengembaraan kami seterusnya tertumpu ke pekampungan orang asli yang terletak tidak jauh dari pekan ini.. namun hajat kami ke situ tidak kesampaian kerana jurupandu kami mengalami masalah kesihatan. (Panas, pening la, suntuk masa la.. ada-ada saje... ). Kami pulang dengan dengan fakta dan harapan agar masyarakat luar tidak lagi menganggap Tanjung Rambutan adalah tempat orang gila sebaliknya... Pekan kecil yang damai.. terima kasih


Krew-krew produksi:
Jurubicara : semestinya AKU
JuruPhoto : adalah AKU
JuruEdit : pun AKU
Jurupandu : hehehe... AKU

Perihal 'budak'

Budak..bolehlah aku beri pengertian untuk golaongan 1 hingga 21 tahun.. setiap peringkat umur budak akan membezakan telatah, peel dan kematangan mereka namun ia tidak jauh beza. Budak, adalah ungkapan dalam bahasa kasar.. kerana budak biasanya menjurus maksud kepada anak, anak-anak atau kanak-kanak.. iaitu dalam bahasa yang lebih elok dan lembut. Budak atau anak adalah pertalian dan kesinambungan zuriat bagi sebuah keluarga. Zaman budak adalah detik yang paling menyeronokkan. Sukar dilupakan! ketika inilah zaman perubahan demi perubahan, pengalaman demi pengalaman, pembelajaran demi permbelajaran akan berlaku.

Budak atau anak juga tidak tertinggal dalam ungkapan orang dahulu samada peribahasa mahupun perumpamaan, contohnya:

Kecil jangan disangka anak, sayangkan anak ditangan-tangankan, kera dihutan disusukan anak dirumah mati kelaparan, bapak kencing berdiri anak kencing berlari, anak tangga, anak pungut dan banyak lagi.

Sambil-sambil kita memahami perihal budak ini, hayatilah pesanan orang tua tentang 'budak':

Jangan makan dengan budak, nanti habis lauk dahulu.
Biasala budak-budak, bukan nak makan nasik sangat.. makan lauk jer, dah pulak ada ayam goreng.

Jangan mandi dengan budak, keruh air dihulu.
Dulu-dulu orang mandi di sungai, kalau bawak budak alamat keruh la air sungai dah depa main-main air.

Jangan tidur dengan budak, putus tali kelambu.
Budak memang tido lasak.. guling sana sini. Orang dulu pulak tido guna kelambu, putus je tali kena la bangun ikat balik.

Jangan 'kahwin' dengan budak, nanti tak kering bulu.
Yang ni korang fikir la sendiri, masing-masing dah besor..!

Tuesday, May 19, 2009

Makan-makan di uptown



Makan..makan..makan! nak makan dimana?.. Kalau anda berada atau sampai di Uptown Damansara, jangan risau tentang makan... Santap selera menunjukkan anda ke sebuah gerai yang sentiasa dikunjungi ramai. Datanglah ke Gerai Slaver , Damansara Uptown. No 1052/1051 Uptown 7, Jalan ss21/39. Senang jer nak cari.. gerainya terletak didalam kawasan Food-court.



Masakannya memang sedap-sedap, ala-ala kampung dan dimasak oleh pemliknya sendiri. Siapa pemiliknya?.. hah! lupa nak bagi tahu.. ia diusahan oleh saudari Roshima Salim. Pelbagai jenis masakan kampung ada disini.. lebih-lebih lagi ikan bakar.. ada ikan pari, ikan kembung, ikan cencaru, ikan keli dan ikan talapia. mmmm sedap! Yang lain pun apa kurangnya, keli masak lemak, kembung masak kari, sayur-sayur kampung.. memang menyelerakan. Hah.. datang la kalau tak pecaya. Macam-macam ada...


Gerai dibuka dari jam 11 pagi hinggalah 4 petang.. 'time makan tengahari'. Biasanya kalau datang lepas pukul 2 tu tinggal saki-baki jer la.. sebab memang ramai orang datang sini untuk makan tengahari.. menurut Syima, gerai ini juga beroperasi 7 hari seminggu.. Huh, caya la. Rajin betul, jadi jangan bimbang kalau anda berada disekitar Damansara Utama ini ketika dihujung minggu. Lepas jalan-jalan di One Utama ke atau apa-apa urusan disekitarnya teruslah datang menjamu selera disini..


Bagi yang payah, susah, malas nak datang tapi teringin macamna? Ehh, tak per.. kerana ada sistem penghantaran.. Dasyat kan. Bagus la Syima ni.. menepati kehendak pelanggan. Anda boleh menelefon untuk memesan makanan dan ia akan dihantar serta-merta.. tapi hanya untuk yang berada disekitar Uptown ini sahaja. No telefonnya: 012-3784136. Pesan makan jer tau.. lebih-lebih tak boleh.

Bukan masakannya sahaja yang menyelerakan tapi layanan juga memuaskan.. Senyumannya manis, ramah mesra dengan pelanggan dan harga yang amat berpatutan.. Jadi apalagi jangan lupa singgah, cuba dan rasa.

Monday, May 18, 2009

Menjala ikan

Ini en. Nubhan (bukan nama sebenar). En Nubhan sedang menjala ikan di sungai. Sejak kecil lagi en Nubhan suka menjala dan memancing ikan.

Menjala adalah salah satu cara menangkap ikan selain dari memancing, memukat, mentaut, membubu dan lain-lain lagi. Menjala ikan telah di lakukan sejak berkurun dahulu.... untuk menjala kita perlu menggunakan jala. Apa itu jala? Jala adalah benang yang di kait rapi hingga berbentuk bulatan dan bila ia dilipat dua, menjadi seakan-akan segitiga. Jarak setiap kaitan benang adalah mengikut saiz. Kecil dan besar. Pada hujung bawah kaitan ini akan diikat dengan gelungan timah kecil diseluruh bulatan jala itu. Gelungan timah ini bertujuan memberatkan jala dan mudah untuk tenggelam bila di tebarkan. Saiz jala juga berbeza-beza dan ia boleh menjangkau 12 kaki panjang.


Menjala bukanlah mudah seperti yang disangka. Perlu ada teknik khas untuk menebarkan jala dengan berkesan. Kekuatan tangan dan kaki amatlah penting. Kaki adalah penting terutamanya jika tebaran jala dibuat ketika seseorang itu juga berada didalam air atau berada diatas perahu. Tangan pula akan memainkan peranan sama ada tebaran itu menjali sempurna atau sebaliknya. Pinggang juga kena kuat... Huh! pendek kata semua anggota badan kena kuat..


Jala mesti disusun elok dilengan dan siku, kemudian pusingkan badan sedikit kebelakang, macam main golf la.. ingat! bukan nak pukul golf saja ada teknik yang betul!.. Ketika jala ditebarkan ia akan kembali berbentuk bulatan. Dikedudukan inilah kaki mesti kuat, kalau tak dengan kita sekali akan jatuh dalam air. Selepas ditebar perlu biarkan jala mendap ke dasar dahulu kemudian baru ditarik perlahan-lah.. lepas tu tengok lah hasilnya.. dapat ikan ke, sampah ke, kayu ke, mayat ke...

Namun tidak saya ketahui asal-usul jala.. siapa dan dimana ia diciptakan, siapa pula yang mula menebarkannya, kaum apakah yang mula menggunakan jala dan pelbagai soalan lagi.. yang pastinya orang yang mula mencipta jala itu bukanlah Jala lluddin Hassan.

Peliknya.. apa juga aktivit-aktivikti yang menjadi hobi orang lelaki pasti ia akan disalah tafsir oleh orang lain (perempuan la). Menjala ke, memancing ke, menjerat burung ke.. Kenapa yek? Pelik tapi itulah yang nyata. Bagi merungkai kekusutan ini saya telah meminta pandangan dari en Nubhan.

"kalau nak pikir semua prasangka orang (perempuan) kerja apa pun tak boleh nak buat". Setuju benar saya dengan kata-kata en Nubhan tu.

Tambah en Nubhan lagi dengan tegas : "saya buat apa yang saya suka, hasilnya untuk anak-anak dan isteri-isteri saya makan." Hah!.. macam tu ke.. hmmmm.. tak boleh nak kata apa la..

Saturday, May 16, 2009

Makan-makan di Bercham



Jika anda berada atau tinggal atau singgah di Bercham, Ipoh.. jangan lupa untuk mencuba rasa digerai ini. Lokasinya amat sesuai dan strategik iaitu di sekitar kawasan Taman Seri Dermawan. Ia dikenali sebagai gerai bawah pokok.. kerana gerai ini di dirikan dibawah sepohon pokok bercham.. ehh! yer ke? hah, tak tahulah itu pokok apa. Memang kalau makan disitu udaranya nyaman dan suasananya redup.

Kalau tengok dari jauh seolah-olah ia hanyalah pondok tanpa penghuni... Jangan salah sangka! bila masuk ke gerai tu, baru tahu memang ramai orang yang datang.. Tempat parking jangan risau kerana ia disediakan.



Ia dibuka seawal jam 7 pagi hinggalah ke tengahari.. menu utamanya biasalah, makanan ruji orang Malaysia iaitu nasik lemak, roti canai, bihun goreng, kueh-mueh dan yang sewaktu dengannya.. tapi yang istimewanya ada bihun sup.. sedap! cuma ia hanya mula dijual pada jam 10 pagi.. seperkara lagi di kedai ini ada ramai anak dara.. tapi tu dulu la.. sekarang semuanya dah kawin...hehe

Apa lagi.. jangan lupa singgah, cuba dan rasa.... !!

Perihal LELAKI


Allah s.w.t menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Manusia diciptakan dengan dua jenis, lelaki dan perempuan. Adilnya lelaki diciptakan lebih tinggi darjatnya daripada perempuan.. jangan marah eaa.. perihal kehidupan lelaki boleh dibincangkan dalam kategori berikut:

1- Bayangan hidup
2- Pandangan hidup
3- Pegangan hidup
4- Perjuangan hidup

Bayangan hidup
Ia dikategorikan bagi lelaki yang berumur lingkungan 17 tahun kebawah. Di tahap umur ini anak-anak lelaki lebih cenderung kepada imaginasi dan bayangan.. teringin apa, nak jadi apa, nak buat apa dan sebagainya..
Maksud lainnya : terbayang "pelik-pelik" sikit jer dah hidup (stimmm.....)

Pandangan hidup
Dikategorikan bagi lelaki yang berumur 18 - 30 tahun, khususnya yang bujang. Lelaki di tahap ini lebih matang dan mempunyai pandangan yang kukuh. Mereka mula ada impian yang pasti dan kecenderungan menempuh kehidupan yang sebenar..
Maksud lainnya: asal pandang yang "pelik-pelik" sikit jer dah hidup (stimmmm....)

Pegangan hidup
Khusus untuk lelaki berumur 30 - 45 tahun (atau 50 tahun). Sudah cukup matang tentang kehidupan dan mempunyai arus hidup serta kerjaya yang lebih sempurna.. Masa banyak diluangkan bersama keluarga dan masyarakat.
Maksud lainnya: dah kena "pegang-pegang" baru nak hidup (stimmm......)

Perjuangan hidup
Bagi lelaki yang sudah berumur, 50 tahun keatas. Di tahap ini lelaki akan memperjuangkan segala kemungkinan bagi meneruskan kehidupan, hal berkaitan keluarga, anak-anak, kerjaya, penyakit yang dialami dan sebagainya..
Maksud lainnya: dah jenuh berjuang, berhempas-pulas baru la boleh hidup (stimmm....)

Begitulah serba sedikit tentang lelaki, walaupun lelaki dikatakan mendominasi dalam pelbagai aspek kehidupan namun lelaki adalah manusia... punya perasaan dan perasan!

Friday, May 15, 2009

Khas untuk mereka


Kesempatan ini aku selitkan kisah kehidupan sebuah keluarga.. seorang tua yang kuat bekerja (atuk aku) dan seorang perempuan yang suka bercerita (nenek aku.. kuat leter pun sama)..

Aku bersyukur kerana masih lagi melihat atuk dan nenek hingga ke hari ni.. tidak seperti sesetengah orang yang sudah kehilangan atuk atau nenek mereka. Umur atuk aku menjangkau 93 tahun, nenek pula lingkungan 80 tahun. dulu...Atuk seorang yang kuat bekerja dan tak banyak cakap, seawal pagi dia ke kebun untuk menoreh getah. Pulang diwaktu tengahari. Selepas makan dan rehat dia kekebun lagi untuk menebas, mananam pisang, jagung.. sambil menternak ayam dan kambing.. malamnya atuk ke surau berdekatan mengajar anak-anak kampung mengaji. Selepas makan malam dia akan menggulung rokok daunnya untuk di buat stok esok hari. Tidak pernah aku melihat atuk saja-saja ke kedai kopi duduk berjam-jam menghabis masa.. mungkin sebab atuk tak tau nak main dam! aku pernah bertanya atuk.. kenapa tak suka pergi minum di kedai? dia jawab cool.." itu perangai orang malas.. sementara kederat ada tak kira umur, kena la kerja."

Nenek kadang-kadang akan ikut atuk ke kebun.. kalu tak, dia dirumah mengemas, masak dan lain-lain. Tidak seperti atuk, nenek kuat bercakap.. kekadang tu rimassss.! Bila malam buat aku boring tapi seronok.. nenek suka bersembang dan bercerita. Aku tau dia tak suka aku tengok TV! jimat karen katanya. Ingat lagi masa aku kecil, dia cerita kisah Batu Belah Batu Betangkup.. menangis bila aku dengar dia cerita sampai tak boleh tidur, sedih sangat, masa tu aku belum tengok cerita tu di tv.. dia kata tu kisah betul, pernah terjadi. Bila aku tengok cerita tu di tv.. aku menangis lagi.. baru aku tahu nenek ciplak cerita tu dari tv.. kene tipu jer..

Memang elok nenek mendidik aku begitu.. bukan elok tengok tv ni.. aku pun kalo tengok tv cerita yang berguna jer.. rencana, sejarah dan berita.. hah! dulu aku suka tengok cerita arab masa bulan puasa, kesah nabi-nabi. Best!.. sebenarnya aku nak tengok katun, nenek tak bagi.. dia suruh tengok cerita arab, lepas tu kena terang kat dia.. dia tak faham bahasa arab dan tak tau baca sarikata, hehehehe..!!

Ular berkaki?

Ular adalah haiwan reptilia yang habitatnya sebagai pemangsa. Ular bergerak dengan menyusur.. menggerakkan otot-otot bandanya sambil mencengkam dasar melalui sisik disebelah bawah.. tapi betulkah ular ini sebenarnya ada kaki?.. pelik.. mungkin itu hanya metos.

Cerita nenek aku, ular memang ada kaki tapi kita tak nampak.. tergelak aku bila dia cerita kat aku.. betul, masa tu aku kecik.. belum sekolah.. nenek kata "kita tak boleh lihat kaki ular.. kalo ular takde kaki ular tak boleh bergerak.. kaki ular banyak.. macam lipan.. memang badan ular menyusur tapi ada kaki yang menggerakkannya".. aku dengar sambil baring.. yang aku tau nenek suka cerita bila malam sebab dia tak bagi aku tengok tv.. cerita hulk pulak malam tu!

Memang sukar untuk dipercayai, aku pun tak percaya.. TAPI aku kena percaya.. ditakdirkan tuhan yang maha esa.. beberapa hari selepas nenek cerita, ketika itu aku berjalan ke rumah kawan nak main kayu palang 3, tiba-tiba aku nampak ular di depan ku.. ya, memang aku nampak ular yang berwarna hijau seakan ular daun itu ada kaki, banyak kakinya tapi tak macam lipan.. kaki ular jarak-jarak, gerakkan kakinya macam labah-labah. terpegun dan kaku aku jadinya.. ular itu berjalan masuk kesemak sambil menjeling kearahku.. lemah lutut masa tu.

Sedihnya bila aku cerita kat nenek apa yang aku nampak, dia pulak tak percaya.. waaaaa..waaaaaaaa.!! .........hehe.


Disebalik nama.. maksud dan pengertian

Salam, mungkin ada dikalangan pembaca tertanya-tanya bagaimana nama heromelayu ini terungkap dan bisa terucap?, mungkin ada yang teripinga-pinga dengan nama ini yang seolah-olah menjadi nama keramat untuk ku... Baiklah titis pertama ini aku akan menceritakan pengertian disebalik nama ini...

Hero.... diambil pakai dari perkataan inggeris hero atau heroes... asalnya perkataan ini telah diculik dari bahasa Greek kuno iaitu Herroz!.. huh! betul ke ni? Pada ketika itu puak-puak greek kuno sering bertarung antara satu sama lain untuk membuktikan kekuatan mereka.. mana-mana puak yang mendapat kemenangan mereka akan bersorak dan menjerit... hroz! huroz! herrozz! herroz! sambil melompat-lompat, terkinja-kinja (cakap orang perak). Jadi herroz ini melambangkan kemenangan dan kekuatan seseorang itu... hahaha, korang pecaya ye..

moralnya: jangan la bangga sangat jadi hero kalau terkinja-kinja macam beruk..!

Melayu... merurut cerita nenek dan datuk aku.. pada zaman dahulu ditanah jawa (blah mana aku tak tau), ada seorang kiyyai (guru agama) berdiri ditepi pantai dan melihat serta mengetahui akan adanya tanah atau pulau disebalik lautan itu.. selat melaka la kot. Lalu dengan kepandaiannya, kiyyai itu mengampil upih kelapa untuk dijadikan perahu, terus cuba menyeberangi laut itu.. siapa kiyyai ini aku tak tahu.. aku rasa Parameswara! setelah beberapa lama di laut akhirnya kiyyai ini berlabuh disatu tempat yang tidak diketahui oleh nenek dan datuk aku.. tapi katanya kat malaysia ni lah. Setelah itu dia pun berjalan-jalan dan melihat ada perkampungan orang, dia cuba mendekati kumpulan orang itu.. peliknya kesemua orang itu melarikan diri.. Kiyyai ini berjalan lagi.. jumpa lagi penempatan orang.. sama seperti tadi bila orang ini melihat kiyyai ini cuba mendekati mereka, mereka pun lari.. begitulah bila ia berlaku untuk ketiga kalinya.. lalu Kiyyyai ini berfikir mendapatkan ilham.. "kok kabeh wong kene belayu delok ke ku?" ( nape orang sini berlari bila melihat ku?).." podo-podo wae.." (sama je semua).. Kiyyai ini pun mendapat ilham lalu diberi nama puak atau orang ini ialah "wong melayu" (orang lari).. melayu dalam bahasa jawa ialah lari.. belayu = berlari.. disitulah bermulanya bangsa melayu.. asal usul orang melayu.. cerita nenek dan atuk aku la.. mana depa tau cerita ni pun aku tak tahu..

Lalu bergabunglah kedua nama ini menjadi satu heromelayu. Heromelayu=aku.. bukan aku yang suka terkinja-kinja dan berlari.. tapi aku yang hensem dan baik budi... terimakasih..

Thursday, May 14, 2009

Kata Aluan


Assalamualaikum w.b.t.. terimakasih pada masa dan tarikh bertuah ini yang membawa aku kedunia percaturan terikini, alam yang mengisi segala aktiviti dan emosi ilmuan serta maklumat. Alam teknologi kini telah membawa aku ke arus yang lebih kedepan walau masih ketinggalan tentang pemahamannya. Terimaksih juga pada semua yang tersinggah ke pondok maya ini.. fitrah diriku menemukan aku pada sumber kehidupan yang lebih luas dari pandangan mata kasar dan jangkauan asas kotak fikiranku..

Pun begitu, asal masih pada asal.. aku tetap seperti diriku.. mancari dan mengenal akan sesuatu itu dengan pengertian yang sebenar.. isi maklumat akan di masukkan dengan sebaik mungkin, sejelas boleh supaya tidak ada pesongan erti yang mungkin mengguriskan hati dan perasangka orang lain.

Titis permulaan ini akan membicarakan segala isi pemahaman maklumat mana-mana yang berkaitan dengan kehidupan yakni manusia, alam sekeliling, setempat, sejarah, asal usul, isu-isu bangsa dan agama, individu tertentu dan lain-lain.. moga ia diberkati... sebarang sumbangan dari kawan-kawan amatlah ditatangkan bagi menyerikan lagi pondok maya ini ...amin